Kesilapan pihak pengurusan syarikat ialah mereka memandang pemasaran digital sebagai satu bentuk kos. Sebenarnya ia tidak akan hangus begitu sahaja malah boleh memberikan pulangan lumayan dalam bentuk jualan produk atau perkhidmatan, ataupun jenama anda akan dikenali ramai.
Berapa banyak peruntukan atau bajet yang anda peruntukan setiap bulan untuk pemasaran digital? Berdasarkan pengalaman saya selama lebih 20 tahun dalam industri ini, tidak ramai peniaga kecil dan sederhana seperti anda yang berani menjawab soalan ini. Ini kerana hampir kesemua tidak pernah meletakkan sebarang bajet untuk pemasaran digital. Kalau ada pun, jumlahnya amat menyedihkan.
Jenama kecil dan sederhana lebih rela menyediakan bajet beratus ribu malah berjuta ringgit untuk pengeluaran produk mereka tetapi tiada langsung untuk pemasaran digital. Aktiviti pemasaran digital seperti media sosial, pemasaran melalui e-mel dan kandungan untuk kedua-duanya diserahkan bulat-bulat kepada para pekerja yang ada.
Tidak mempunyai laman web, tidak ada kewujudan langsung dalam dunia internet dan mempunyai pengurusan yang langsung tidak mahu mengambil tahu tentang pemasaran terutamanya secara digital, merupakan beberapa kelemahan yang wujud di kalangan perniagaan kecil dan sederhana di Malaysia. Walaupun kita kini menghampiri tahun 2020, mentaliti mereka masih berada pada tahun 1990 lagi sebenarnya.
Pemasaran digital ialah strategi menarik orang ramai yang berpotensi untuk menjadi pelanggan berbayar untuk tahu tentang jenama anda, kenal dengan jenama anda, faham dengan matlamat anda, membeli apa yang anda tawarkan dan kembali lagi sebagai pelanggan tetap.
Mereka perlu diajak ke laman web anda melalui status-status yang dimuat naik di media sosial anda ataupun melalui enjin pencarian seperti Google. Mereka perlu dibawa ke laman web terlebih dahulu, sukakan produk yang tawarkan dan kemudiannya baharu mereka berhasrat untuk datang ke kedai anda secara fizikal.
Prosesnya tidak susah. Yang susahnya, kesemua ini memerlukan sedikit pelaburan yang munasabah. Itu sahaja. Malang sekali apabila ‘ketua pegawai eksekutif’ atau ‘pengurus besar’ anda tidak ‘nampak’ tentang potensi pemasaran digital ini.
Mereka terlalu mengharapkan para pekerja mereka untuk memasarkan produk yang ada dengan apa cara sekalipun. Walaupun pekerja itu juga yang menjaga stor di belakang, pekerja itu juga yang menjadi mat despatch, pekerja itu juga yang menjaga hal-hal berkaitan sumber manusia dan sebagainya, dia tetap perlu menjaga pemasaran digital syarikat. Ada juga pihak pengurusan yang percayakan ‘budak’ praktikal atau intern untuk membantu strategi pemasaran syarikat. Memang menarik.
Tidak sukar untuk menyediakan peruntukan sekitar 5 hingga 10 peratus daripada jumlah jualan untuk pemasaran digital. Ia cukup bukan sahaja untuk media sosial sahaja, malah anda akan mampu mempunyai sebuah laman web yang menarik dan efektif, borang digital untuk sebarang pertanyaan, halaman blog untuk artikel-artikel yang mampu menarik pengunjung, integrasi dengan Facebook Messenger untuk berinteraksi secara real-time dengan para pelanggan yang bertanya, pemasaran melalui e-mel yang memudahkan pelanggan sentiasa mengingati anda, penjenamaan yang lebih segar dan juga pembayaran iklan di rangkaian-rangkaian media sosial untuk promosi. Ini aset-aset digital yang sangat-sangat diperlukan oleh jenama anda.
Dalam peruntukan yang sama juga, anda boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar-pakar pemasaran di luar sana yang boleh membantu mengajar para pekerja anda bagaimana untuk menyediakan dan melaksanakan strategi pemasaran digital yang lebih tepat, cepat dan efektif.
Mereka akan faham mengapa sesuatu aktiviti itu perlu dilaksanakan, apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan, apakah yang harus dibuat terlebih dahulu, bila masa yang sesuai untuk aktiviti tertentu dan bagaimana untuk membuatnya. Kesemua ini adalah proses untuk melengkapkan pasukan anda untuk mereka faham dan tahu bagaimana untuk menghasilkan aset-aset digital tadi.
Produk yang berkualiti tinggi sahaja tidak akan menjamin kelangsungan perniagaan anda. Ia perlu diperkuatkan dengan perkhidmatan yang juga berkualiti tinggi dan strategi pemasaran digital yang baik bagi mendapatkan pulangan yang lumayan dalam bentuk jualan produk di pasaran.
Perhatian orang ramai kini lebih banyak tertumpu di peranti-peranti mudah alih dan komputer. Sayang sekali sekiranya jenama anda tidak terpampang di skrin mereka.
Mentaliti anda perlu berubah, kita bukan berada di tahun 1990!